Tuesday, April 06, 2010

Letihnya Menjadi Aku - Part III

Pulang. Tepat jam 5.00 petang, aku tak pernah berlengah, walau seminit aku takkan pernah berlengah, atau berpura-pura sibuk dengan tugasan yang banyak, yang pastinya aku menunjuk resah jika aku tak dapat beredar dari sini tepat pada waktu yang aku telah tetapkan. Fokus ku hanya satu - aku ingin pulang. Pulang ke tempat tinggal ku yang tak pernah puas dengannya. Aku harus pulang.

Perjalanan pulang lebih tenang dari perjalanan pergi, arus kesesakan kurang dari awal pagi, mungkin sebab masih ramai yang sibuk dipejabat ( bukan aku, aku bukan jenis itu, mungkin dulu aku pun sejenis tapi kini aku sudah berubah spesis, aku lebih senang dengan spesis sekarang) atau sebab tidak perlu mengetik waktu bila tiba di pintu rumah, atau mungkin sebab aku tak perlu beraksi Michael Schumacher dlm perjalanan pulang.

Tiba. Tiba di rumah, kucing ku yang comel menjadi penyambut setia, tiada seorang manusia pun yang akan menyambut aku tapi seekor haiwan yang aku rasa dia rasa dirinya manusia. Pelik? Memang pelik tapi percaya lah Si comel ku selalu menjadi seperti manusia di pandangan mataku. Adakalanya dia menjadi seperti seekor anjing tapi selebihnya dia selalu seperti manusia. Selain Si comel aku tidak punya penyambut lain ( yang aku nampak, yg tak nampak aku tak berani komen), tiada anak untuk menghibur kan lara, kadang memikirkan tentang tiada anak juga membuatkan aku letih. Letih dalam yang makin berdarah, tapi hidup kena pasrah, jadi dalam pasrah aku tetap menanggung resah, membuat jiwa semakin gundah dan luarannya aku menjadi cukup letih.

Sunyi. Tahukah kalian, aku datang dari keluarga nukleus yang sederhana besar, tapi keluarga sekunder yang cukup besar, kepulangan ku dari sekolah satu ketika dahulu disambut riuh dengan suara adik-adik seibu sebapa ku, adik-adik saudara ku, makcik, pakcik dan nenekku. Rumah nenek tak pernah sunyi. Kami juga punya burung dan kucing yang berpasang-pasangan, jadi bila dewasa, sudah berhijrah mengikut suami, aku jadi sunyi bila pulang tiada yang menyambut. Bertukar sedih jika pulang tak nampak matahari, rumah yang gelap semakin sunyi, sedih bila perlu memetik suis lampu untuk menampakkan cahaya. Tapi apa guna hidup dalam kenangan, yang pasti ini realiti yang perlu aku hadapi setiap hari.Aku sudah terbiasa begini.Terbiasa tidak lagi memakan diri. Terfikir juga jika ramai di rumah ku sekarang, aku mungkin semakin letih. Letih merancang itu dan ini, letih menguruskan itu dan ini. Aku kan begitu, suka merancang segala perancangan. Ah, tak mengapalah Allah tahulah apa yang terbaik untuk ku. Bukankah itu pinta ku padaNya saban hari.”Takdirkan yang terbaik untukku disisimu Ya Allah”.


Rumah. Ini rumah kami, tempat kami melepas lelah, tempat kami beribadat dan rehat, tempat kami bermadu kasih, tempat kami bergaduh-baik , tempat kami merajuk-pujuk, tempat kami menjauh rasa, tempat kami berkongsi semua. Jadi, rumah ini ku jaga rapi, bila berubah dari rapi, aku letih melihatnya, bila aku mengemas rapi aku tetap letih melaksanakannya. Jadi harus bagaimana aku ini, rapi dan letih harus seiring, itu kesimpulan ku.

To be continued.

Sunday, April 04, 2010

Letihnya Menjadi Aku - Part II

Pandu. Aku memandu mengikut keadaan, kadang laju melebihi had, kadang pelan merangkak-rangkak dalam sesaknya arus perjalanan. Letih. Kaki memang letih menekan pedal minyak ataupun brek, tangan letih memutarkan stering, mata letih mencari peluang, namun telinga terhibur mendengar coleteh dj2 radio yang sentiasa meneman dalam sunyi perjalanan letih ku itu. Aku bukan pemandu cuai, tapi tersasar sedikit dari berhemah. Cuma doaku sepanjang perjalanan moga aku sampai dengan selamat ditempat yang dituju agar hati suamiku tidak resah dengan berita musibah.

Tiba. Ketibaan ku tak pernah disebut hebat seperti ketibaan para menteri atau orang-orang kenamaan yang terkemuka. Aku insan biasa yg tak pernah dipandang khas oleh sesiapa pun, maka ketibaan ku biasanya memenatkan kan kerana perlu berusaha pula mencari tempat parkir yang tersedia merata tapi sentiasa penuh itu, kadang didalam hati selalu mempersoalkan aku yang lambat atau mereka yang lain terlalu cepat..arh atau mungkin mereka ini tidak pernah pulang agaknya. Tapi inilah rutin aku seharian pagi, bermula dengan letih yang akhirnya beransur hilang setibanya aku duduk selesa di kerusi pejabat dan melaporkan ketibaan ku dengan selamat sebagai berita kepada teman yang dirumah. Iya aku tidak pernah lupa menelefon suamiku, walau lewat sekalipun aku tetap mendail dia. Gundah aku jika tidak mendengar suaranya dicorong telinga.

Pejabat. Hari-hari di pejabat pun tidak pernah menentunya. Kadang seharian aku diluar menjalankan audit, pemantauan terhemah bagaimana membelanjakan wang kerajaan @ wang rakyat layaknya. Aku seorang auditor , mata-mata kepada pihak berkuasa, memastikan tiada penyelewangan, tiada penipuan dalam perbelajaan wang kerajaan ( walau ramai seperti aku, namun manusia tetap manusia, kalau sudah jahat didalam hati, sekat macam mana pun penipuan berlaku, sistem canggih berjuta pun boleh dibolos sekelip mata) , aku juga seorang penasihat, mendengar masalah-masalah pengadu dari semua pusat tanggungjawabku, letih ditelinga tak perlu dijaja, yang penting aduan rakyat di selenggara segera, aku juga orang bawahan pada pegawai atasan ku, sempurna kerja senyumlah dia, kurang lebih masam la muka, aku juga pegawai atasan pada orang yg pangkatnya kecil sedikit dari ku, adat sistem piramid makin memberat di bawah. Rasanya tak perlu dicerita apa layaknya aku dimata pegawai-pegawai kecilku, tepuk dada tanyalah selera. Yang penting aku tak pernah marah-marah pada mereka, tegas aku bertempat. Setakat ini aku rasa mereka senang dengan cara ku, cuma aku pula kadang rasa tak senang dengan cara mereka tapi aku tak ambil hati. Biarlah mereka masih muda, aku pun pernah melalui usia mereka, tujuan hidup belum terarah. Tapi bagaimana pula dengan pegawai ku yang jauh lebih berusia dari ku, yang umur sebaya umur mamaku, salah bicara mudah terasa jadi mengalah lah dalam tegas. Peraturan jadi panduan tapi bukan semestinya pegangan.

Disini pejabat aku berbakti, pada Bangsa, Agama dan Negara, sambil mencari sumber rezeki, rezeki yang halal untuk aku nikmati semoga menjadi darah daging yang diredhai.

To be continued.

Thursday, April 01, 2010

Letihnya Menjadi Aku - Part I

Letihnya menjadi aku, atau mungkin lebih letih menjadi kamu dan mungkin lebih lagi letih menjadi dia.

Tapi ini perjalananku, ini jurnalku, jadi mahu atau tidak, dalam keadaan sekarang , aku lebih selesa dengan frasa “letihnya menjadi aku”. Buat seketika aku memberi peluang kepada diriku sendiri untuk tidak memandang ke bawah ataupun ke atas, tapi stagnant sebentar di baris ini.

Aku bangun pagi sama seperti org lain iaitu kurang lewat dalam jam 6 pagi (aku selalu kunci jam awal dari waktu sebenar, dengan bermacam-macam niat baik tapi selalunya aku gagal melaksanakan niat-niat ku itu, semoga aku beroleh kebaikan diatas niat-niat ku yang baik itu walau jarang sekali terlaksana. Amin) Walau jam berdenyut kencang, kaki, mata, tangan dan badan rasa cukup berat untuk memulakan hari baru. Rasanya baru sebentar tadi aku terlelap, mimpi pun tak sampai ke penghujungnya, sedar-sedar jam sudah menjerit pekik. Teman ku disebelah masih lena diatas bantal tidurku (Ya bantal tidurku yg selalu bertukar tempat menjadi miliknya bila malam menjelang). Namun ku gagahkan diri..bangun! Aku harus bingkas bangun jika tidak mahu menjadi mangsa dlm kesesakan lalu lintas yang tak pernah hilang itu. Sempat berpaling sebelah mengucup pipi teman yang sedang lena tidur itu, suka aku melihat dia begitu, dia kelihatan cukup tenang dalam lena panjangnya itu.

Mandi , bersolat , berpakaian dan bersiap sesedap mata memandang sambil mulut bersuara lembut mengerakkan teman yang masih lagi nyenyak tidur di atas katil. “Bangun sayang, bangun solat, Matahari dah nak cerah tu, dah nak dekat kul 7 dah tu.” Sengaja aku cakap begitu tu walhal lambat lagi ke jam 7, itu ungkapan biasa yang selalu aku dendangkan buat teman tersayang. Rasanya sudah lebih 4 tahun itulah ungkapan azimat yang selalu membuatkannya bangun berjalan terus menuju bilik air, berwuduk dan bersolat. Langsung terus menukar kain pelekatnya itu ke seluar yang lebih sempurna, merapikan rambut yang sudah tentunya kusut masai dalam lenanya yang panjang itu. Termaktub perjanjian rasmi yang tak pernah dibicarakan, dia punya tanggungjawab untuk mengiring aku ke kereta. ( ITU JADUAL RUTIN KAMI SEPASANG SUAMI ISTERI BAGI TIAP-TIAP HARI BERKERJA) Setakat ini dia tidak pernah merungut apalagi marah-marah tentang tanggungjawabnya itu. Dia buat dengan rela, dengan ikhlas yang mana setiap kali terkenang , merutun hati ini dengan rasa kasih tiap kali mengingatkan pengorbanannya setiap pagi.Bukan aku tak pernah menolak, tapi ralat rasanya jika bukan dia yang menemani aku, dia juga tak pernah membenar aku berjalan dalam seorang, mungkin itu agaknya “quality time yang singkat buat kami”.
(Untuk pengetahuan, rumah kami berkonsepkan kondo tinggi di tingkat yang tinggi, yg mana kenderaan diparkir jauh dari kediaman, tidak ramai para suami yang akan berbuat demikian untuk isteri apatah lagi diawal pagi bila mana tiada keperluan untuk mereka melakukan demikian, mungkin ada tapi tetap tidak konsisten, maaf aku mungkin berbunyi prejudis tapi ingat ini jurnal aku, jadi aku berhak menulis apa saja.) Tulisan ku ini umpama satu penghargaan buat teman ku seorang suami yang jarang sekali aku ucapkan terima kasih di atas perbuatannya itu.

Pagi ku disulami dengan bual-bual kosong antara aku dan temanku, sambil berjalan beriringan ke kereta. Di dalam lif kami bertukar cerita tentang apa jadual kami dihari ini, bergurau senda selagi yang boleh, sebutan akan merindu kerap kali diutarakan walau berpisah kurang dari 24 jam dalam sehari. Adakalanya perjalanan menuruni lif ditemani dengan kanak-kanak yang akan ke sekolah (muka masing-masing yang masih mengantuk), orang lain yang sama tujuannya seperti aku, para ibubapa yang sibuk berkejaran menghantar anak ke rumah asuhan dan pelbagai lagi insan yang entah apa tujuannya aku pun tidak pasti. Salam dihulurkan, ciuman kasih dibalas. Itu rutin halal seorang suami buat isteri, tanda meredhai dengan pemergian ku dan tujuanku. Maka pergilah suami dengan urusan hidupnya dan aku dengan urusan hidupku. Masing-masing punya tuntutan dengan diri sendiri, dengan insan lain dan dengan alam. Bertebarlah kamu diatas muka bumi Allah yg Maha Luas ini.

To Be Continued

Monday, February 01, 2010

Hidup Berwarna-warni……

Sekarang ini aku sedang tersenyum, mengingati 5 hari yg telah berlalu dlm hidup…hari2yg 5 itu cukup mengujakan…penat tp terhibur, letih tapi gembira, semua cukup..itu cukup ini cukup…tak ada yg kurang.

Hidup berwarna –warni…rasa macam selalu tapi tak selalu….yg jelas, semua org suka…suka org kenyang, semua org cantik, semua org puas hati, semua org sayang..semua org lah, tapi mungkin jugak bukan semua..tapi aku semua : )

P/s: This entry is dedicated to my beloved cousin SWMY for the joy and celebration of her wedding
(Solemnization, Reception I, Reception II and Reception III) – I love all the occasion :: ) Boleh ke nak macam ini selalu??

Monday, January 04, 2010

Sedikit Berbeza

Setiap hari sama saja, tiada apa-apa yg luar dari kebiasaan berlaku…tapi hari ini sedikit berbeza, cukup sudah umur mencecah angka 30 puluh tahun..sejenak termenung, rupanya sudah 30 tahun aku hidup di bumi tuhan ini…30 tahun lamanya aku diberi peluang meniti satu perjalanan bernama kehidupan.

Itu buat aku tersenyum, itu jua buat aku risau dan was-was…siapa aku, dimana aku 30 tahun akan datang…sedikit kaget bila mengenang masa depan yang tentunya tiada siapa tahu walau sesaat kemudiannya.

Kata org umur 30 itu kita sudah melangkah kea lam “prime age”…ahha..aku pun sudah mencecah the prime age…aku bahagia tapi biasalah dlm bahagia itu manusia seperti aku tak pernah cukup, sentiasa mencari dan meminta yang lebih…mana ada kehidupan yang lengkap..lengkap itu satu illusion mungkin..kita yg sentiasa melengkapkan dengan sebab…sebab yg dicipta sendiri..jadi aku rasa aku jauh dari lengkap tapi yang penting aku cukup rasa bertuah sepanjang usia ini, dan untuk itu lahir rasa syukur yang tidak ternilai pada yg Esa.

Semalam dlm solat, terfikir apa yg harus aku minta dr yg Esa untuk hadiah kelahiran ku kali ini…namanya pun manusia, byk betul yg bermain di minda…kadang wujud rasa malu sbb terlalu byk meminta dr yg Esa sedang diri tak cukup hebat untuk meminta..tapi aku tahu, aku pasti kalian pun tahu…dengan dia mana ada sempadan, sempadan itu tidak wujud…dia tempat ku mengadu, tempat tenang dlm kesedihan…dia segalanya buat aku..dan dia telah mengurniakan segalanya buat aku…setiap kurniaannya aku pandang dengan syukur walau kadang aku terlalai…aku kan manusia?..alasan…
Maka apa yg ku pinta biarlah antara aku dan dia, sbb aku yakin dia akan takdirkan yg terBAIK dan terHEBAT buat aku…

Apapun, terima kasih pada yg mendoakan aku, yg terus mengucapkan kata2 termanis sebagai teman…
Yang sudi berkongsi rezeki itu pun terima kasih jua, mama dan papa hadiah ku cukup jika kalian hidup sihat & bahagia bersama biar untuk satu tempoh yg lama lg, sbb perjalanan ku masih panjang..kalian sgt aku perlukan…

Untuk yg bernama Cinta Hatiku, aku ingin hadir dlm hidup mu dlm tempoh lebih dari 30 tahun yg datang..Insya-Allah jika diizin yg Esa, biar smp ke akhir hayat ku, sbb kamu jua hadiah terbaik dlm hidupku…

Insyallah dengan izin yg Esa..ini 30 yang diredhai dan diberkati…Amin.

P/s : Rasa rindu pada si kecil Iris Aryan…(maaf ini tiada kena mengena dengan tanggal 4hb Jan 2010) Cuma terbit rasa rindu dan sayang yg sepertinya harus aku luahkan buat zuriat adikku Marlisa…ohh ini jua satu announcement ya…; )