Tuesday, April 06, 2010

Letihnya Menjadi Aku - Final Part

Isteri. Aku seorang isteri kepada seorang suami yang cukup baik dan sempurna di mata aku. Aku ingin menjadi yang terbaik untuk dia. Walau aku tahu aku jauh dari sempurna, tapi rasa kasih yang tiada bertepi ini hanya ada untuk dia maka aku sentiasa berusaha kearah itu. Untuk itu tugas ku dirumah bermula bila salam dilafazkan, pintu dikuak dan beg diletakkan.

Aku buru-buru ke dapur memastikan makanan si comel masih ada, ke dapur juga membersihkan apa yang patut, menyapu dan mengelap apa yang patut, ke depan serambi menyiram pokok yang kadang-kadang masih nampak layu itu, ke atas untuk mandi dan bersolat asar, turun semula untuk membasuh baju, naik semula mengangkat jemuran, melipat dan menyusun pakaian. Ke dapur semula untuk menyediakan makanan, walaupun ringkas dapur ku tetap berasap (walau kadang hanya wap dari air panas) , ke atas semula untuk menyidai baju, sambil mengosok baju mata ini melayan TV peneman setia. Nanti solat semula dan membaca ayat-ayat suci penenang jiwa, berzikir memuji Allah dan berharap Tuhan memberikan aku kesabaran dalam menempuh apa jua dugaan ku di dunia ini, aku tahu aku insan tak sempurna, mudah marah , mudah melawan, mudah hilang sabar tapi aku tahu aku seorang yang istiqamah / consistent kalau tidak tak mungkin aku siapa aku yang Allah jadikan. Untuk itu aku berterima kasih padaMu Ya Allah. Bimbinglah aku, ujilah aku, tapi jangan Kau pesongkan hati ku ini yang selalu mengharap keredhaan Mu.

Puas. Aku puas dengan apa yang ada, Cuma dalam puas aku jadi letih untuk mengekalkan apa yang ada untuk terus ada.

Pulang. Kepulangan dia sentiasa aku nantikan, tak pernah jemu menunggu walau seketika terlena dalam penantian. Tapi bila dia pulang, rumah seperti berjaga kembali, walau hanya dia yang pulang aku rasa seperti ramai yang datang, kerana dalam dunia kecilku ini hanya ada dia, dia ku sambut dengan salam, senyuman, pelukan dan ciuman. Hari ku terasa seperti bermula kembali tapi aneh aku tidak letih.
Rutin kami makan, minum , berbual dan jika masih belum aku bersolat, kami bersolat sama, terus nanti kami menonton TV sambil menghirup kopi O panas, dalam genggaman tangan kami, aku dan dia seakan faham, pendeknya masa kami bersama. Kami akur dengan keajaiban malam yang merembeskan rasa mengantuk, maka ke kamar kami beradu untuk mengumpul sedikit kekuatan sebelum bermulanya hari esok.

Aku letih dengan rutin ini, aku letih dengan diriku yang terus menerus hidup dalam rutin ini, tapi aku tak pernah marah, aku tahu ini ketentuan hidupku, aku yang akan merubah dan mengubah coraknya, cuma dalam usia yang semakin matang ini, aku berharap letih ku ini semakin bermakna, biar terkesan bila merasa. Bukan alah bisa tegal biasa. Sekejap sekejap aku letih menjadi aku. Mahukah kamu menjadi aku?

Teman baikku ini akan berpergian buat seketika, kerana tugas kami berpisah. Rutin ku pasti tercalar, rutinku akan berubah sementara, aku pasti merindui rutin letih ku ini, kerana dalam rutin hidupku yang letih ini ada dia teman sejati ku. Semoga dia dilindungi hendaknya, dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, dimantapkan iman agar berjaya dunia dan akhirat.

Kami berdua tidak sempurna, masih terpalit dengan dosa, tapi kami saling melengkapi mungkin tak sehebat dugaan cinta Adam dan Hawa, Laila dan Majnun atau Romeo dan Juliet, tapi kata dia cukuplah jika yang biasa-biasa sahaja, asal tiada dugaan berbisa. Cukup dengan dunia kecil kami, cukup dengan senyuman kasih, cukup dengan doa yang ikhlas. Dia aku yang punya dan begitu juga sebaliknya. Tuhan ampuni kami, peliharalah kasih kami ke akhir hayat kami.

3 comments:

::i.e.r.a:: said...

diana...
tidak ku sangka kawanku pandai bermadah pujangga...sungguh sebak rasa di dada apabila kawanku bercerita... ehem ehem.. :)

miss u my dear fren..

Utterly Me said...

iera, hehe..bakat terpendam..bila menulis susah plak nak stop tu yg berjela tu..skang ni Diana makin jiwang ahh..hehe..

Unknown said...

dear, jiwang menulis tak per... itu kan luahan rasa... suka tau bila iera membacanya.. :)